SHAH ALAM – Gara-gara tidak sempat menekan brek menyebabkan 11 buah kenderaan menjadi ‘mangsa’ dirempuh sebuah treler di Persiaran Tengku Ampuan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.09 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Kemalangan itu turut tular menerusi video berdurasi 40 saat yang memaparkan keadaan kenderaan dan laluan berkenaan yang mula sesak.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian semua kenderaan sedang berhenti menunggu lampu isyarat di persiaran tersebut.
“Namun, sebuah treler yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba melanggar sebuah kereta di hadapannya.
“Kemalangan itu dipercayai melibatkan 11 kenderaan di lokasi tersebut dan tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Iqbal menegaskan hasil siasatan mendapati pemandu treler tidak sempat menekan brek apabila kenderaan di hadapannya berhenti secara mengejut.
Tambahnya, hasil ujian air kencing ke atas individu itu didapati negatif dadah dan semakan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki sebarang rekod jenayah. -KOSMO!ONLINE