fbpx

TPR positif Covid-19, prosiding hina mahkamah Lokman Adam ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR – Prosiding pendengaran menghina mahkamah yang dikenakan terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis ditangguhkan ke 17 Ogos di Mahkamah Tinggi di sini.

Ia berikutan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Izalina Abdullah yang mengendalikan kes itu positif Covid-19.

Pada prosiding hari ini, seorang lagi TPR Mohd. Isa Mohamed memaklumkan kapada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa TPR Izalina yang mengendalikan kes itu sejak awal lagi, telah dijangkiti virus itu semalam, dan terpaksa dikuarantin selama seminggu.

Justeru, memandangkan tiada bantahan daripada peguam K.Balaguru, yang mewakili Lokman, mahkamah kemudian menangguhkan kes hari ini dan menetapkan 17 Ogos ini untuk prosiding pendengaran.

Isnin lalu, mahkamah menyatakan TPR Kanan, Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak perlu dipanggil sebagai saksi pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.

Ketetapan itu dicapai oleh Hakim Collin selepas mengetepikan sapina yang sebelum ini dikeluarkan Raja Rozela pada 26 Julai lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa Raja Rozela hanya membantu sebagai pegawai mahkamah, bukan bertindak sebagai saksi yang material pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.

Hakim Collin berpendapat, kata-kata yang didakwa menghina itu tidak diucapkan di hadapan Raja Rozela sebaliknya maklumat itu disampaikan kepadanya ketika mahkamah bersidang.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati tiada asas terhadap dakwaan bahawa Raja Rozela telah mengelirukan atau berbohong kepada mahkamah.

Dalam pada itu Hakim Collin turut menolak permohonan pihak pendakwaan agar kos dibayar secara peribadi oleh peguam yang mewakili Lokman.

Pada 8 Julai lalu, Lokman memilih untuk dibicarakan dalam prosiding menghina mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kata-kata tidak wajar terhadap anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah yang dikatakan tidak adil kepadanya.

Balaguru ketika itu memaklumkan, beliau menasihatkan Lokman mengapa beliau perlu meminta maaf kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa dilakukannya.

Balaguru menjelaskan, anak guamnya tidak memanggil anggota polis mahkamah Lans Koperal Walter Lee Yun Fui ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Raja Rozela pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah bodoh kerana bersikap tidak adil kepadanya.

Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman agar beliau menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana menghalang tugas anggota polis pada perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Hakim Collin menetapkan demikian berikutan aduan yang dibangkitkan oleh Raja Rozela ketika perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Presiden UMNO. – KOSMO! ONLINW

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI