fbpx

Toyota Vellfire sumbat PATI Myammar macam ‘sardin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 25 PATI warga Myammar terpaksa berasak-asak dalam Toyota Vellfire dari Rantau Panjang, Kelantan sehingga ke Sentul, Kuala Lumpur hampir sembilan jam

KUALA LUMPUR – Taktik seorang transporter menyeludup 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan kereta pelbagai guna (MPV) mewah terbongkar selepas berjaya ditahan polis di Jalan Selinsing, di sini semalam.

Kenderaan jenis Toyota Vellfire itu dikatakan membawa PATI dari Rantau Panjang, Kelantan yang dipercayai menyeludup masuk dari Thailand untuk dihantar ke Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku ketika polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vellfire hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis telah menghampiri kenderaan tersebut namun, pemandunya bertindak memecut laju dan enggan berhenti memaksa polis mengejar kereta tersebut.

“Semasa sampai di Jalan Selinsing, kereta berkenaan telah merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan dia terbabas, bahkan suspek turut melanggar tiga buah kereta milik orang awam yang berada di tempat kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenderaan tersebut bagaimanapun berjaya ditahan Ketua Polis Balai Jinjang bersama pasukannya sekitar pukul 12.05 tengah hari.

Jelas beliau, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun dan seorang lagi lelaki yang menaiki kenderaan tersebut berjaya meloloskan diri ketika kemalangan berlaku.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahagian tempat duduk belakang kereta terdapat 19 lelaki dan enam wanita warga Myammar berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi,” ujarnya.

Tambah Eng Lai, pemandu berkenaan memaklumkan dia dan suspek yang bolos bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan menuju Kuala Lumpur pukul 3 pagi semalam untuk menghantar kesemua PATI mencari pekerjaan.

“Bayaran yang dikenakan kepada setiap individu (PATI) oleh penghantar (tekong) adalah sebanyak RM6,000 untuk tujuan tersebut.

“Semakan mendapati kereta terbabit tidak dilaporkan hilang, namun menggunakan nombor pendaftaran palsu, bahkan pemandu yang ditangkap juga mendakwa tidak tahu siapa pemilik kereta tersebut yang mana kesemuanya diuruskan oleh suspek yang berjaya melarikan diri,” ujarnya.

Katanya, kini kesemua suspek telah ditahan reman bermula hari ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI