PETALING JAYA – Penyanyu legenda, Datuk Ramli Sarip bukan sahaja terkenal dengan jolokan Papa Rock, dia bahkan seorang penggubah lagu dan penulis lirik yang puitis.
Lihatlah dan dengarkan sahaja lagu-lagu dendangannya. Jika bukan lirik tulisan sendiri pun, sulaman melodi dan keindahan seni kata lagu nyanyian lelaki asal Singapura itu pasti menghanyutkan perasaan sesiapa.
Atas portfolio itulah juga, tidak salah menanyakan pandangan beliau berhubung kekecohan polemik ‘degup’ atau ‘denyut’ susulan teguran seorang guru Bahasa Melayu mengenai lagu popular, Casablanca yang tular baru-baru ini.
Turut sinonim dengan lagu madah berkias, Ramli berkata, setiap pengkarya punya kebebasan namun perlu bertanggungjawab terhadap karya mereka.
Dari situlah pengkarya harus mempunyai jawapan kukuh bagi setiap butiran dalam pemilihan seni kata yang dirasakan lebih bersesuaian dengan maksud ingin disampaikan.
“Sejujurnya saya serba salah untuk memberikan pandangan kerana situasi antara karya seni dengan naskhah untuk bahan pembelajaran berbeza mengikut sasaran audiens kita.
“Secara peribadi, saya melihat perkataan denyut dalam lagu itu tidak salah kerana kedua-duanya perkataan sinonim, malah ada individu yang lebih suka bermetafora atau guna ayat puitis berbanding terlalu ikut buku.
“Inilah keterbukaan dalam berkarya, asalkan tidak menyimpang jauh apatah lagi merosakkan keindahan bahasa Melayu kita, cuma jangan jadikan keterbukaan ini sebagai lesen untuk berbuat sesuka hati.
“Saya sendiri suka lagu yang ada maksud di sebalik kata, selain menyelitkan unsur perlambangan kepada sesuatu situasi yang kedengaran lebih berlapik dan lembut. Kalau dipertikai, saya sudah sedia dengan jawapan konkrit,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi yang hampir lima dekad mendedikasikan hidup kepada dunia muzik itu ditemui pada sidang media konsert Ramli Sarip: Up Close & Personal yang berlangsung di Malacca Music Hall, Villa D’Acqua, Masjid Tanah, Melaka.
Ramli sebenarnya diberi penghormatan sebagai penghibur pertama mengadakan persembahan eksklusif di dewan khas yang dibina khusus untuk penyanyi beraksi.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila sebaris ayat berbunyi ‘denyut jantung ku berdebar’ dalam lirik nukilan Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu ditegur Cikgu Zack Kirana menerusi platform media sosial.
Cikgu Zack Kirana atau nama sebenar, Saliza Ibrahim menganggap istilah yang lebih tepat bagi menggambarkan debaran jantung adalah degup.
Penggunaan denyut dalam lagu duet Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu disifatkan sebagai tidak mengikut hukum tatabahasa.
Sementara itu, mengenai konsert yang berlangsung dua hari berturut-turut di Malacca Music Hall iaitu pada 29 dan 30 Julai lalu, Ramli mengakui terharu dengan sokongan tidak berbelah bagi pendengar.
Bagi anak seni merangkap komposer, penulis lirik dan pemuzik itu, pengembaraan ke 10 lokasi di seluruh Malaysia serta Singapura dianggap sebagai perkongsian terhadap album baharunya, Rasa.
“Album Rasa ini sangat penting dalam perjuangan saya selama 50 tahun. Bukan terbaik, tetapi istimewa sebab cinta di sebalik musim yang menunjukkan ada kesusahan di sebalik keindahannya.
“Ini muzik dewasa dan matang yang turut menunjukkan kepada anak muda yang baru terbabit dalam bidang muzik supaya jangan cepat mengalah. Kenapa saya buat vinyl dan album fizikal kerana bermakna.
“Memang saya mahu jelajah seluruh pelosok tempat untuk berkongsi ‘rasa’ ini. Namun kali ini agak mencabar. Ikutkan kalau ada pihak yang sedia bekerjasama, saya dan pasukan ini boleh ‘jalan’ hingga ke 30 lokasi.
“Istimewanya saya disertai pemuzik yang terbabit dalam pembikinan album Rasa. Sudah pastu aura di konsert lebih tonjolkan impak,” tambahnya yang kali terakhir menghasilkan album solo sekitar sembilan tahun lalu.
Menurut ikon dunia muzik tempatan yang bakal meraikan ulang tahun ke-70 pada 15 Oktober depan, selagi diberi kudrat dia akan meneruskan misi bersama rakan seperjuangan.
“Perjalanan seni saya tiada noktah, melainkan telah ditetapkan Allah supaya berhenti. Kami hanya berhenti seketika semasa penat selepas itu kita jalan semula.
“Bagi saya jelajah ini tiada musim tertentu, macam diri saya yang tiada musim dalam kerja atau seni. Kerana saya rasa semangat itu adalah atas diri kami sendiri,” katanya.
Konsertnya diiringi Rozario Rasul selalu pengarah muzik dan pemain keyboard selain Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) selain duo Mohram. – KOSMO! ONLINE