PUTRAJAYA- Orang ramai boleh membida siri plat RAP yang akan dibuka bidaannya selama seminggu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 17 hingga 21 Ogos depan.
Menerusi hantaran Facebook JPJ, proses bidaan itu akan dibuka selama seminggu sebelum ditutup pada pukul 10 malam, 21 Ogos 2022.
Katanya, keputusan bidaan akan diumumkan kepada pembida pada keesokkan harinya.
Proses bidaan boleh dibuat secara elektronik menerusi pautan laman sesawang rasmi agensi berkenaan iaitu https://jpjebid.jpj.gov.my.
Sementara itu, pengguna media sosial juga dilihat teruja densm plat terkini tersebut dengan ada yang memberi komen sindiran menyifatkan plat RAP171 dijangka mendapat permintaan tinggi kerana menyamai nama seorang pemimpin politik.
Sebelum ini, siri plat RAJ yang didaftarkan di Perlis melakar rekod bidaan tinggi dengan jumlah RM3.48 juta di mana plat RAJ 1 dibida sebanyak RM202,670.
JPJ Perlis juga pernah mencatatkan keseluruhan bidaan berjumlah RM12.2 juta untuk siri plat RR pada 2017 dengan plat RR 6 bernilai RM459,800. – KOSMO! ONLINE