fbpx

Pemandu, kelindan ditangkap cuba seleweng diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDNHEP memeriksa tangki lori yang diubahsuai di Indera Mahkota di Kuantan semalam.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menahan seorang pemandu lori dan kelindan dipercayai terlibat dalam sindiket penyelewengan diesel di Indera Mahkota, di sini semalam.

Dua lelaki berusia 51 dan 21 tahun itu ditahan di Stesen Minyak Petronas, Indera Mahkota di sini dalam satu serbuan yang dilakukan oleh pihak KPDNHEP awal pagi semalam.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, tangkapan itu membawa kepada penemuan lapan buah tangki petak yang diubahsuai dalam lori muatan tujuh tan dengan setiap tangki berkapasiti 1,000 liter.

“Turut ditemui di tempat kejadian adalah sebuah pam minyak yang digunakan bagi tujuan memindahkan diesel daripada stesen minyak ke ‘square tank’ berkenaan.

“Kedua-kedua lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mark, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan cuba membawa minyak berkenaan ke negeri lain.

Katanya, kesemua nilai sitaan dalam kes ini dianggarkan berjumlah RM59,000 dan pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, KPDNHEP Pahang memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi dan akan terus menggiatkan pemantauan di seluruh negeri secara berterusan.

“Untuk rekod sepanjang tempoh 1 Januari lalu sehingga kini, KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 39,583 premis dan daripada jumlah itu sebanyak 455 kes dibuka melibatkan nilai rampasan sebanyak RM189,960 dan kompaun sebanyak RM297,300,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI