LONDON – Pemain Bournemouth sepakat untuk tidak lagi melakukan rutin melutut sebelum perlawanan dan keputusan itu akan terus dipraktikkan pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa, Sabtu ini.
Ia bukanlah kali pertama dilakukan oleh skuad The Cherries, malah mereka sudah pun melakukannya pada Februari tahun lalu ketika dalam saingan Liga Kejuaraan dan tidak pernah bercadang untuk mengubah fikiran.
Bekas kaptennya, Steve Cook pernah menjelaskan langkah untuk memerangi segala bentuk diskriminasi itu sentiasa menghadirkan motivasi buat pemain untuk turut serta dalam kempen anti penindasan.
“Memerangi diskriminasi dan mewujudkan masyarakat yang sama rata adalah sesuatu yang menjadikan kami lebih bersemangat. Tetapi, ia perlu ditakrifkan lebih daripada sekadar isyarat.
“Namun, apa yang dilakukan sejak lapan bulan lalu tidak lagi beri kesan,” katanya yang berhijrah ke satu lagi pendatang baharu Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest.
Langkah Bournemouth bukanlah perkara baharu kerana makin ramai pemain bintang kelab Liga Perdana Inggeris mahu segera berhenti daripada melakukan perkara sama.
Pertahanan Manchester United, Harry Maguire percaya isyarat berkenaan mula hilang daya tarikan malah sepanjang musim lalu, pemain Crystal Palace, Wilfred Zaha menjadi beberapa bintang ternama yang enggan melakukannya sebelum perlawanan. – AGENSi