BENTONG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di kawasan loji air Semantan dekat Kampung Lengkong di sini semalam.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, memancing bersama seorang rakannya sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 6.22 petang semalam bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi pencarian.
“Operasi pencarian diteruskan hari ini dan setakat ini mangsa yang dipercayai dihanyutkan arus masih belum ditemukan.
“Operasi menyelamat yang turut disertai oleh bomba bersama pihak polis dan juga penduduk kampung hari ini membuat pencarian sehingga dua kilometer daripada lokasi mangsa terjatuh,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE