fbpx

Kutip kerusi roda di tempat pembuangan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norizan menunjukkan kaki kirinya yang dipotong akibat kencing manis ketika ditemui di kediamannya di Taman Orkid, Kluang baru-baru ini.

KLUANG – Seorang ibu tunggal yang tinggal di Taman Orkid di sini reda dengan ketentuan Ilahi apabila kaki kirinya dipotong sehingga paras lutut akibat kencing manis sejak dua bulan lalu.

Norizan Abdul, 66, terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda untuk memudahkan perge­rakkannya dalam mengendalikan urusan peribadi serta makan minum keluarga.

Lebih menyentuh hati apabila kerusi roda yang digunakan ibu kepada enam cahaya mata itu diambil di tempat pembuangan sampah.

“Saya menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu, ketika itu saya masih bergerak sendiri sehinggalah kesihatan saya sema­kin merosot. Kaki saya kemudian terpaksa dipotong agar penyakit ini tidak merebak.

“Sejak itu, saya tidak dapat bergerak seperti dahulu, sekarang makan minum dan kebajikan saya diuruskan oleh anak kedua daripada enam beradik, Norazman Amir Hamzah, 46. Dia telah berhenti kerja untuk menjaga saya.

“Dia juga kreatif, bawa balik kerusi roda yang rosak, baiki sendiri dan boleh guna sementara. Kalau nak beli yang baharu memang masih tidak mampu, duit yang ada pun banyak nak digunakan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Norizan, jauh di­sudut hatinya tidak mahu menyusahkan orang lain, namun apakan daya, ujian menimpa membuatkan dirinya reda menelan pahit perjalanan hidup yang dilaluinya.

Ujarnya, bantuan diperlukan untuk mendapatkan lampin pakai buang, susu khas serta kos perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol sebanyak 12 kali sebulan.

“Ketika ini semua keperluan berkenaan terpaksa ditanggung sendiri melalui wang Pencen Terbitan bulanan hasil daripada arwah suami saya yang bersara dengan pangkat Pegawai Waran Dua (PW II) ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

“Namun wang pencen seba­nyak RM750 itu tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan ini,” ujarnya.

Norizan berkata, permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dibuat kira-kira dua bulan lalu, namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

“Sekarang saya harapkan ada insan yang sudi menghulurkan sumbangan termasuk bantuan kerusi roda yang baharu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Norizan bolehlah menghubungi Norazman di talian 017-735 4598.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI