fbpx

Ketua Pengarah ‘sombong’ dituntut buat permohonan maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPISM

PUTRAJAYA- Ketua Pengarah sebuah agensi awam diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seorang pegawai imigresen berhubung insiden tengking yang berlaku di sebuah ‘bilik VIP’ dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Permohonan maaf itu dituntut Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) selain turut menggesa kerajaan memandang serius perkara itu serta mahu tindakan dikenakan kepada penjawat awam yang sombong.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya juga akan menyokong penuh segala tindakan akan diambil Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam situasi tersebut demi memartabatkan maruah pegawai agensi itu.

“KPISM yang mewakili 14,000 orang pegawai Imigresen di seluruh negara ingin melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai tertinggi awam yang menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang sedang bertugas di KLIA.

“Seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi tadi, seorang pegawai JIM dimarahi kerana tiada individu yang bertugas di bilik VIP KLIA.

“Insiden bermula apabila tiada pegawai JIM ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA. Sememangnya pegawai tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan berbanding bilik itu.

“Ia hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal,” jelasnya.

Katanya lagi, pegawai tersebut yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh ketua pengarah tersebut.

“Tindakan tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan itu dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan lain merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati perkhidmatan awam itu sendiri.

“Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan ketua pengarah tersebut,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, sikap ketua pengarah yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur menunggu giliran.

“Beliau tidak dapat mencontohi kepimpinan sepertimana ketua pengarah sebelumnya dan tidak layak menjawat jawatan tersebut.

“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang petugas yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI