LONDON – Kereta kegemaran mendiang Puteri Diana, Ford Escort RS Turbo yang telah diubah suai oleh syarikat pengeluarnya sekitar tahun 1985 hingga 1988, akan dilelong pada harga dijangka mencecah ratusan ribu pound sterling, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Menurut firma lelongan automotif Silverstone Auctions, kereta tersebut hanya dipandu sejauh 40,233 kilometer.
Syarikat dari Warwickshire, England itu juga yakin bahawa harga jualan yang akan berlangsung pada 27 Ogos ini mampu mencapai enam digit.
Menurut jurucakap Silverstone Auctions, pasaran amat menyukai model-model awal bagi kereta jenama Ford RS.
“Kebiasaannya, kereta-kereta milik keluarga diraja yang dilelong adalah daripada jenama seperti Rolls-Royce atau Range Rovers.
“Justeru, kami amat teruja kerana dapat menawarkan kereta jenis hatchback sport daripada kelas golongan pekerja.
“Ia adalah sesuatu yang menarik kerana kereta Escort RS Turbo yang sinonim dengan wanita berkasut tumit tinggi putih dari Essex ini dimiliki oleh wanita paling glamor di dunia,” katanya. – Agensi