PUTRAJAYA- Kerajaan akan mewujudkan satu rangka tindakan (blueprint) selain menubuhkan jawatankuasa baharu yang berperanan menetapkan hala tuju berkaitan isu gelandangan di negara ini.
Keputusan itu diputuskan di dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan Kabinet lain.
Ismail Sabri berkata, keputusan mewujudkan rangka tindakan dan jawatankuasa tersebut dibuat memandangkan ketika ini tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian serta pengendalian gelandangan di negara ini.
“Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan selain menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.
“Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 [Akta 802] akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, Perdana Menteri berkata, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif di sebuah pusat jagaan warga emas bermula 21 November 2021.
“Pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran badan bukan kerajaan (NGO) berpengalaman dalam penjagaan warga emas demi memastikan ia diuruskan dengan berkesan.
“Seterusnya, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bakal memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz,” katanya.
Jelas Ismail Sabri, sejak DPTN diperkenalkan pada tahun 2016, jumlah pusat tahfiz berdaftar meningkat daripada 571 buah kepada 1,208 buah pada tahun 2022.
“Oleh itu, kerajaan pusat dan negeri perlu bersama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan serta pusat tahfiz mendapatkan kelulusan beroperasi.
“Kerjasama bersepadu amat diperlukan bagi menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan rentan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE