BRASILIA – Pasangan kembar siam dari Brazil yang bercantum pada bahagian kepala berjaya dipisahkan dengan bantuan teknik realiti maya (VR) yang canggih, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC), kelmarin.
Bernardo dan Arthur Lima yang berumur tiga tahun, menjalani pembedahan di Rio de Janeiro, dengan bantuan dan arahan yang diterima daripada pakar bedah di Hospital Great Ormond Streetl, London.
Pasukan pembedahan Britain itu mengambil masa beberapa bulan untuk mencuba teknik melakukan pembedahan kembar itu secara realiti maya, berdasarkan imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI).
Ia digambarkan oleh ketua pasukan bedah tersebut, Noor ul Owase Jeelani sebagai pembedahan alaf baharu yang di luar jangkaan.
Menurut Gemini Untwinned iaitu, badan amal yang membiayai pembedahan tersebut, ia adalah salah satu prosedur pemisahan kembar Siam paling rumit pernah diselesaikan oleh Noor ul.
Beliau berkata, buat pertama kalinya, pakar-pakar bedah di negara berasingan memakai alat pendengaran dan pada yang sama, beroperasi di sebuah bilik bedah realiti maya.
Kembar Siam itu menjalani tujuh pembedahan kesemuanya, manakala pembedahan terakhir sahaja mengambil masa lebih 27 jam dan hampir 100 kakitangan perubatan.
“Ia sungguh mengagumkan. Ia benar-benar hebat untuk melihat anatomi dan melakukan pembedahan secara VR sebelum dilakukan pada pesakit. Ini membolehkan kami melakukan teknik ujian dan memperbetulkan kesilapan tanpa sebarang risiko.
“Saya terasa seperti melakukan pembedahan di planet Marikh menerusi kemajuan teknologi yang dibangunkan ini,” kata Noor ul.
Pasangan kembar itu berada dalam keadaan stabil dan akan disokong dengan rawatan pemulihan selama enam bulan. – Agensi