KOTA KINABALU – Sebanyak 52 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.8 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV pada 28 Julai lalu.
Dalam operasi pada pukul 12.12 tengah hari itu, semua dadah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di ibu negeri ini.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan turut menahan seorang lelaki berumur 37 tahun untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi kes terbabit adalah dengan menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi bagi menjalankan aktiviti pembungkusan dadah.
“Semua dadah terbabit dimasukkan ke dalam plastik sebelum melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.
“Dadah berkenaan kemudiannya disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam hari ini.
Mengulas lanjut, Zazuli memaklumkan siasatan juga mendapati semua dadah itu dipercayai untuk kegunaan dalam serta luar negeri.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE