SEPANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meraih pencapaian membanggakan dalam temasya dwitahunan Sukan Polis dan Bomba Dunia 2022 (WPFG 2022) diadakan di Rotterdam, Belanda dari 22 hingga 31 Julai lalu.
Lebih manis, kontinjen seramai 35 orang atlet itu berjaya memperoleh kutipan pingat tertinggi dengan 15 pingat emas, 11 pingat perak dan 11 pingat gangsa sepanjang menyertai kejohanan itu sejak tahun 1997.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pencapaian itu bukan sahaja melebihi jangkaan awal sembilan emas yang disasarkan, bahkan mengatasi rekod pencapaian ketika kejohanan sama di Chengdu, China pada 2019.
Beliau berkata, kejayaan itu didorong tahap disiplin serta semangat juang tinggi sekali gus melonjakkan prestasi dan pencapaian mereka dalam kesemua acara disertai kali ini.
“Saya berharap anggota ini akan dapat meneruskan kejayaan di tanah air dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap tugasan memadam kebakaran dan menyelamat selain terus berbakti kepada orang awam.
“Saya difahamkan 75 buah negara menyertai temasya kali ini dimana 30 acara dipertandingkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan pulang atlet temasya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Katanya, pihaknya akan mengadakan satu majlis penghargaan kepada pasukan berkenaan dalam masa terdekat selain memberi ganjaran yang sesuai di atas pencapaian cemerlang itu.
Mohammad Hamdan berkata, atlet dart dan tenpin boling meraih pencapaian membanggakan apabila meraih enam pingat emas dalam enam kategori yang dipertandingkan selain dua pingat emas bagi acara golf dan satu pingat emas bagi acara push and pull.
Sementara itu, pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Mohd Nasir Jantan, 49, berkata, dia meraih empat pingat emas dalam acara dart menerusi empat kategori dipertandingkan.
Menurutnya, pencapaian itu mengulangi jumlah pungutan pingat sama ketika menyertai temasya di Chengdu, China pada 2019.
“Saya mula menyertai terbabit dalam sukan dart ini sejak 2010 dan kali kedua menyertai temasya WPFG selain sudah menjelajah 13 negara bagi menyertai kejohanan sukan dart itu.
“Saya akan berangkat ke Fukuoka, Jepun pada September ini untuk menyertai kejohanan dart peringkat Asia dan jika terpilih, saya akan menyertai kejohanan dart antarabangsa di London yang dijadual pada November depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.