BANGKOK – Seorang lelaki gelandangan di Thailand mencuri secara sengaja bagi membolehkannya dimasukkan ke penjara supaya mendapat makanan dan tempat berteduh, lapor laman berita Thaiger semalam.
Pichit, 60, ditahan di daerah Sattahip, wilayah Chon Buri kira-kira pukul 3.30 petang (waktu tempatan) pada 29 Julai lalu selepas sengaja mencuri tiga buku sabun supaya boleh dimasukkan ke penjara.
Pichit mengambil tiga buku sabun dari sebuah farmasi yang berharga 17 baht (RM2.09) setiap satu, menjadikan jumlah kecurian sebanyak 51 baht (RM6.28).
Pemilik farmasi itu, Wirawat Korsirivalanon menghubungi polis untuk menahan lelaki tersebut.
Seorang penduduk yang baik hati dikatakan bertindak campur tangan dan cuba membayar harga sabun itu, namun Pichit enggan menerimanya.
Pichit memberitahu jika lelaki tersebut membayar barang itu, dia akan berjalan tanpa hala tuju dan mungkin mati kelaparan.
Sebaliknya, dia akan mendapat makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari, mempunyai katil dan bumbung untuk berteduh serta mungkin menemui beberapa orang kawan untuk berbual dengannya.
“Jika berada di luar sana, saya mungkin mati kelaparan,” katanya. – Agensi