PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU(PBB), New York – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran kelmarin bahawa salah faham boleh mencetuskan kemusnahan nuklear ketika Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis menggesa Russia agar menghentikan perlakuan dan retorik nuklearnya.
Dalam ucaptama sidang Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) di New York, Guterres berkata, dunia berdepan bahaya nuklear yang tidak pernah berlaku sejak kemuncak Perang Dingin.
Menjadikan perang Russia dengan Ukraine serta ketegangan di Semenanjung Korea dan Asia Barat sebagai contoh, Guterres memberitahu, beliau bimbang krisis nuklear yang terpendam ketika ini akan menjadi semakin buruk.
“Hari ini, umat manusia hanya memerlukan hanya satu salah faham atau salah percaturan untuk mencetuskan kemusnahan nuklear,” kata Guterres semasa sidang semakan semula NPT. Perjanjian antarabangsa itu dikuatkuasakan pada 1970 bagi menghalang penyebaran senjata nuklear.
“Kita sangat bertuah setakat ini. Namun , tuah bukanlah strategi ataupun perisai daripada ketegangan geopolitik yang semakin menggelegak dan menunggu masa untuk menjadi konflik nuklear,” tambahnya.
Sidang di ibu pejabat PBB, New York itu telah ditangguhkan berulang kali sejak 2020 disebabkan pandemik Covid-19. Sidang kali ini pula akan berlangsung sehingga 26 Ogos ini.
Guterres berkata, sidang NPT adalah peluang untuk mengukuhkan perjanjian tersebut dan mengurangkan kebimbangan dunia mengenai senjata nuklear.
“Menghapuskan senjata nuklear adalah satu-satunya cara untuk memastikan kita tidak akan pernah menggunakannya.
“Hampir 13,000 senjata nuklear kini disimpan di seluruh dunia. Semua ini berlaku ketika risiko penggunaan senjata nuklear meningkat, manakala usaha menghalang peningkatan krisis semakin lemah,” kata Guterres sambil menambah, beliau akan melawat Hiroshima pada 6 Ogos ini sempena hari memperingati pengeboman bandar raya itu oleh AS.
NPT yang ditandatangani oleh 191 pihak , disemak semula setiap lima tahun yang bertujuan untuk mengekang penyebaran senjata nuklear, menggalakkan perlucutannya dan mempromosikan kerjasama dalam menggunakan tenaga nuklear secara aman. – AFP