LONDON – Chelsea bersedia untuk ‘mencantas’ seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City selepas bersetuju dengan tanda harga £50 juta (RM273 juta) yang diletakkan Brighton bagi mendapatkan khidmat pertahanan sensasi, Marc Cucurella pada jendela perpindahan kali ini.
Difahamkan, Cucurella telah menjadi buruan skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola sejak bulan lalu, tetapi gagal mencapai kata sepakat dengan Brighton selain mendakwa tanda harga yang diletakkan terlalu mahal.
Malah, tawaran rasmi pertama yang diletakkan oleh City dengan bayaran tunai sebanyak £40 juta (RM218.7 juta) telah ditolak kelab bimbingan Graham Potter itu kerana mendakwa pemain antarabangsa Sepanyol itu memiliki nilai pasaran £50 juta.
Susulan itu, Chelsea yang kecewa selepas beberapa pemain pilihan mereka khususnya Jules Kounde enggan menyarung jersi The Blues musim ini dengan memilih untuk menyertai kelab La Liga, Barcelona tidak mahu lagi berputih mata.
Kini, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel percaya kehadiran Cucurella bakal melengkapkan benteng pertahanan ampuh menjelang kempen EPL yang akan bermula minggu ini bagi menggantikan posisi Marcos Alonso yang difahamkan bakal menyertai Barcelona.
Malah, The Blues bersedia untuk memberikan pemain muda meningkat naik, Levi Colwill menyertai Brighton secara percuma.
Dalam perkembangan sama, Chelsea juga sedang giat berbincang dengan kelab Jerman, Red Bull Leipzig untuk mendapatkan pertahanan antarabangsa Croatia, Josko Gvardiol untuk ditukar ‘suka sama suka’ dengan penyerang mereka, Timo Werner.
– AGENSI