UBON RATCHATHANI – Skuad mendayung negara tidak mengambil masa lama untuk mencipta impak positif dalam penyertaan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 apabila berjaya menuai satu pingat emas pada saingan hari pertama acara itu.
Emas tersebut hadir menerusi penuntut dari Universiti Selangor, Mohammad Amirul Norhadi dalam acara lightweight Scull individu lelaki dengan catatan masa tiga minit 48 saat (s) di Sisaket City hari ini.
Pengurus skuad mendayung AUG, Shaid Jaafar berharap kejayaan itu dapat menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet yang akan meneruskan cabaran mereka selepas ini.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian Mohammad Amirul. Atlet yang bertanding dalam acara ini bukan biasa-biasa kerana ada antara mereka yang pernah menyertai Sukan Ollimpik dan Kejohanan Dunia.
“Untuk pengetahuan semua, pingat emas diraih Mohammad Amirul ini merupakan yang pertama buat sukan mendayung di temasya AUG kali ini,” katanya.
Mohammad Amirul berjaya menewaskan atlet Filipina, Christian Joseph Jasmin yang mencatat masa 3:52.06s dan Siwakong Wongpin dari Thailand (3:57.53s) yang mana kedua-duanya pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Sementara itu, hasrat skuad negara untuk menambah koleksi pingat emas kedua tidak kesampaian apabila gandingan Nurul Amira Norhadi dan Ayesha Mohd. Ramli menamatkan saingan Lightweight Scull berpasangan wanita di tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE