MIAMI, FLORIDA – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris mengumumkan dana persekutuan AS$1 bilion (RM4.45 bilion) bagi menambah baik infrastruktur di seluruh AS dalam usaha untuk meningkatkan daya tahan terhadap peningkatan haba dan perubahan iklim.
Menurut agensi berita United Press International, Program Pembinaan Infrastruktur dan Komuniti Berdaya Tahan itu akan memberi manfaat kepada 50 buah negeri, tiga wilayah dan Washington, D.C.
“Hari ini (kelmarin), pentadbiran Presiden Joe Biden membuat pelaburan lebih AS$1 bilion (RM4.45 bilion) menerusi Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk membiayai projek peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim di 343 buah bandar, pekan dan daerah di seluruh negara,” katanya.
White House berkata, nilai pelaburan tersebut adalah dua kali ganda berbanding pembiayaan tahun lalu untuk infrastruktur berdaya tahan iklim.
Menerusinya, kerajaan tempatan boleh memohon geran bagi melaksanakan projek untuk melindungi impak akibat perubahan iklim.
“Selama bertahun-tahun, kita berbahas mengenai kesan perubahan iklim terhadap masyarakat, negara dan dunia. Hari ini, kita sendiri boleh melihat impaknya.
“Tahun lalu, negara ini mengalami 20 bencana cuaca yang berpunca daripada perubahan iklim dan menyebabkan kerugian bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.45 bilion).
“Biden dan saya mempunyai kewajipan untuk bertindak, bukan sekadar selepas bencana berlaku, bahkan sebelum,” ujar Harris.
Beliau dalam ucapannya merujuk kepada bencana banjir di negeri Missouri dan Kentucky, kemarau serta kebakaran hutan di California selain gelombang haba di seluruh AS.
Tambah Harris, pentadbiran persekutuan akan membantu menaik taraf grid kuasa di Austin, Texas bagi memastikan pendingin hawa kekal berfungsi ketika gelombang haba.
Selain itu, sebanyak AS$50 juta (RM222.8 juta) akan diperuntukkan buat Miami bagi melindungi kawasan kejiranan di lokasi tanah rendah daripada peningkatan paras air laut. – Agensi