fbpx

Aizat Amdan umum nikah, pilih pengurus sebagai isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIZAT dan Elyssa bakal mengadakan majlis pernikahan dan resepsi di A-PARK Puchong pada 14 Ogos depan.

PETALING JAYA – Selepas tiga tahun menyulam cinta, akhirnya pennyanyi Aizat Amdan bakal mendirikan rumah tangga bersama pengurusnya Elyssa Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini.

Berita gembira tersebut diumumkan sendiri oleh Aizat pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Hanya Kita Dua sebentar tadi.

“Saya rasa ini masa yang tepat selepas bercinta selama tiga tahun. Saya tidak pernah ada perasaan seperti ini, jadi saya tahu dia orang yang tepat,” ujar Aizat.

Menurut Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan, 33, keserasian dan keyakinan Elyssa terhadapnya telah membuka hatinya untuk melamar wanita itu.

Namun, tiada adegan lamaran sebaliknya persetujuan untuk berkahwin itu berlaku hasil berbincangan bersama.

“Saya tidak yakin dan berasa ragu-ragu pada mulanya tentang perkahwinan. Tetapi dia (Elyssa) yang menyakinkan bahawa saya layak jadi seorang suami.

“Saya yang selama ini agak mementingkan diri dan suka melakukan semua perkara sendiri, telah terbuka hati untuk belajar untuk berkongsi termasuk perkara peribadi sejak mengenalinya,” kata Aizat yang kini sibuk membuat persiapan perkahwinan.

Dalam pada itu, Elyssa mendedahkan pada mulanya dia berasa bimbang akan hubungan bersama Aizat sementelah mereka juga bekerjasama selaku penyanyi dan pengurus.

“Mulanya rasa bimbang bila bercinta dan bekerja serentak. Tetapi Aizat seorang lelaki yang baik dan untuk pertama kalinya saya bebas menjadi diri sendiri serta tidak perlu berpura-pura di depan lelaki,” kata Elyssa.

Sempena dengan hari bahagianya, Aizat mendedikasikan lagu Hanya Kita Dua yang dicipta beberapa tahun lalu khas buat bakal isteri tercinta.

“Lagu Hanya Kita Dua satu keraian sebab itu berentak rancak kerana saya mendapat jodoh yang tepat. Saya mahu berkongsi kegembiraan bersama orang lain,” katanya tentang lagu yang sudah berada di semua platform digital dan lirik videonya akan dilancarkan pada pukul 9 malam ini di saluran YouTube Aizat Amdan.

Terdahulu Elyssa telah dirisik oleh keluarga Aizat pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis ringkas.

Pasangan ini memilih tanggal 14 Ogos untuk majlis pernikahan dan resepsi yang akan berlangsung di A-PARK Puchong, Selangor. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI