JOHOR BAHRU – Peluang mendapat pendapatan bulanan melebihi RM10,000 menjadi tarikan utama kepada golongan muda untuk terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian lebih dikenali sebagai scammer.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tawaran lumayan berkenaan menyebabkan golongan muda tidak merasa ‘bersalah’ untuk melakukan kerja berkenaan.
Menurut beliau, sindiket terbabit turut mengambil kesempatan terhadap golongan berkenaan yang sememangnya sedang mencari pekerjaan pasca pandemik Covid-19.
“Seperti dalam operasi yang dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi ‘scammer’ melibatkan golongan muda berusia berusia antara 18 hingga 25 tahun.
“Sindiket berkenaan ‘memancing’ individu yang sedang mencari pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap sebanyak RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen, jika mereka berjaya memperdaya lebih ramai orang, pendapatan mereka boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan.
“Disebabkan ‘gelap mata’ dengan tawaran tinggi sedemikian, golongan muda ini dengan sendirinya sanggup menjadi ‘scammer’ sekaligus menipu rakyat yang menjadi sasaran mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.