KOTA BHARU – Kadar pinjaman buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) meningkat sebanyak 93.51 peratus meskipun perlu bersaing dengan cabaran penggunaan media sosial dan internet dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Pengarah PPAK, Mohd. Shamsul Baharin Isa berkata, peningkatan itu dibuktikan apabila seramai 10,661 peminjam dicatatkan bermula Januari hingga Julai tahun ini berbanding 5,509 peminjam dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menurutnya, peminjam buku kebanyakannya terdiri daripada ahli PPAK yang berdaftar pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak, pelajar, penuntut universiti dan golongan dewasa.
“Kategori buku yang dipinjam pula pelbagai jenis dan ia bergantung kepada individu itu untuk membuat rujukan sebelum bahan bacaan tersebut dibawa pulang.
“Jumlah peminjam buku di PPAK semakin meningkat pada tahun ini terutamanya selepas pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Penulisan Cerpen (Penulis Cilik) Negeri Kelantan di PPAK di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.