IPOH – Pesawat ringan yang terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini semalam, dilihat terbang terlalu rendah sebelum melanggar tiang lampu.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata, dia terkejut dan panik melihat pesawat itu dalam keadaan sedemikian seolah-olah mahu terhempas.
Malah katanya, enjin pesawat tersebut juga mengeluarkan bunyi yang pelik ketika dilihat sekitar pukul 8 malam.
“Ketika kejadian, saya baru selesai mengisi minyak motosikal di stesen minyak berhampiran dan terkejut melihat sebuah pesawat terbang pada paras yang terlalu rendah.
“Saya segera membuat pusingan U untuk melihat arah pesawat itu pergi dan terkejut apabila pesawat tersebut melanggar tiang lampu berhampiran kunci air sebelum berpusing dan jatuh terjunam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Menurut lelaki itu, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam keadaan panik, dia segera menghubungi talian 999 dan pasukan keselamatan untuk bantuan.
Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Haizad, 22, berkata, dia yang berada di rumah ketika kejadian terkejut apabila mendengar bunyi hentaman kuat dari luar rumah.
Katanya, meskipun kawasan kejadian itu berhampiran dengan akademi penerbangan namun dia sama sekali tidak menyangka bunyi kuat itu datang daripada pesawat yang terhempas. – KOSMO! ONLINE