IPOH – Bedah siasat ke atas mayat jurulatih penerbangan yang maut dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini semalam, mendapati punca kematian akibat kecederaan di tengkuk dan dada.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
“Proses bedah siasat telah pun selesai dan punca kematian akibat kecederaan di tengkuk dan dada akibat kemalangan penerbangan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut manakala rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah.
Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih penerbangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, pesawat PIPER 28 yang terhempas itu berlepas dari Bats Aviation Sdn. Bhd. (BATS) dekat sini. – KOSMO! ONLINE