SEMENYIH – “Saya mungkin terbang bersama arwah pada malam semalam,” dakwa seorang pelatih daripada Bats Aviation Sdn. Bhd. (BATS).
Amiruddin Adnan, 23, mendakwa, dia sepatutnya dijadualkan menjalani latihan penerbangan bersama arwah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, semalam.
Katanya, bagaimanapun jadual tersebut telah diubah oleh pihak pengurusan pada saat akhir kepada Jurulatih, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62.
“Jadual kami tidak pernah tetap. Dia terpulang kepada kondisi cuaca dan kapal tersebut.
“Namun, pada hari kejadian, jadual itu telah diubah dan latihan telah dilakukan oleh Allahyarham Fajim Juffa dan Muhammad Din Fikri,” katanya ketika ditemui di sini tadi.
Semalam, Kosmo! melaporkan kejadian sekitar pukul 8 malam itu, jurulatih penerbangan, Fajim Juffa, maut manakala rakannya, Muhammad Din Fikri, parah.
Amiruddin berkata, sejak menyertai BATS pada Disember 2020, dia sudah menjalani latihan selama 120 jam bersama kedua-dua jurulatih tersebut.
Menurutnya, dia masih terkejut dan bersedih dengan insiden menimpa arwah Fajim Juffa, namun menyifatkannya sebagai lumrah di dalam dunia penerbangan. – KOSMO! ONLINE