IPOH – Jurulatih penerbangan yang maut dalam nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah di sini semalam, tidak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti berkhidmat meskipun pernah terlibat dalam insiden sama pada tahun 2004.
Dalam kejadian itu, pesawat MiG-29 yang diterbangkan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, terhempas di Ladang Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu.
Fajim Juffa bagaimanapun dijumpai terselamat di kawasan Hutan Bukit Sagu selepas 31 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Menurut ibu saudara Fajim Juffa, anak saudaranya itu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penerbangan dan tidak pernah berasa takut untuk terus ‘terbang’.
Malah katanya, semangat lelaki itu juga tidak pernah luntur meskipun bapanya juga pernah terkorban dalam kejadian helikopter Nuri terhempas di Sungai Lundu, Sarawak pada 1989.
“Dia tidak pernah cakap (takut) sebab dia memang minat, dia sangat suka terbang. Dia juga pernah sertai pemilihan untuk menjadi angkasawan.
“Cuma biasalah, sebagai orang tua kita bimbang dan risau keselamatannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini awal pagi tadi.
Menurut wanita berusia 56 tahun itu, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya itu pada hari raya Aidilfitri lalu ketika lelaki terbabit datang menziarahi kediamannya di Klebang. – KOSMO! ONLINE