IPOH – Ketua jurulatih penerbangan yang dilaporkan parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah di sini semalam, kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan mengatakan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, turut meninggal dunia tidak benar sebaliknya mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Semalam, saya ada dengar khabar angin mengatakan seorang lagi mangsa meninggal dunia.
“Berita itu tidak benar kerana mangsa tersebut masih lagi dirawat di HRPB dan keadaannya stabil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bot Penyelamat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mior Farid memberitahu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mula menjalankan siasatan di lokasi kejadian hari ini.
“Semalam kita membantu kawal tempat berkenaan supaya tiada pencerobohan berlaku ke atas bangkai pesawat dan serpihannya di mana salah satu sayap pesawat itu telah patah.
“Jadi, kita membuat kawalan di lokasi nahas hingga pagi ini bagi memberi ruang kepada CAAM untuk menjalankan siasatan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE