fbpx

Pesawat terhempas: Arwah pejuang TUDM yang amat disenangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi Buang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Fajim Juffa pada majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma Beranang di sini hari ini. Turut serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan (kiri). - FOTO/FAUZI BAHARUDIN

SEMENYIH – Allayarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di Ipoh, Perak semalam disifatkan sebagai seorang pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang amat disenangi semua pihak.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, beliau telah mengenali arwah sejak dia memasuki TUDM pada 1994.

“Arwah (Fajim) sebenarnya pernah berkhidmat secara langsung ketika saya mengetuai Skuadron MiG-29. Dia adalah seorang daripada pejuang di bawah naungan saya.

“Dia adalah seorang yang boleh dikatakan sebagai penyeri suasana dan sentiasa menyenangkan ramai orang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, perkara itu juga boleh diterjemahkan menerusi kehadiran orang ramai pada saat dia dikebumikan.

“Kita lihat pada hari ini berapa ramai kawan dia. Dia juga berkawan tidak mengenali batasan daripada anggota atasan sampai ke bawah serta sentiasa disenangi oleh sesiapa yang mendampingi dia.

“Saya berharap arwah akan ditempatkan bersama dengan orang beriman dan saya turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Affendi memberitahu pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil ikhtiar bagi membantu keluarga arwah.

“Buat masa ini, dia sebagai seorang veteran tentera, kita akan mengambil ikhtiar melihat apa yang kita boleh bantu keluarganya.

“Di pihak kita (ATM), banyak kumpulan sedang membuat kutipan namun ia adalah secara peribadi manakala secara institusi nanti kita lihat apa yang perlu bantu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI