fbpx

Pengalaman cukup bernilai buat Renee di AUG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RENEE menganggap saingan AUG sebagai pendedahan terbaik untuk dia mengorak langkah lebih jauh dalam karier sport climbing selepas ini.

UBON RATCHATHANI – Atlet sport climbing negara, Renee Tan Sui Lin berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa selepas terlepas peluang menaiki podium pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Atlet yang mesra disapa Renee itu terpaksa akur menamatkan kategori boulder wanita di kedudukan kelima pada aksi final di Kampus Ban Yang Noi kelmarin.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Heriot-Watt Malaysia itu kecewa kerana pengalamannya yang cetek antara faktor memisahkannya dengan tiga pemenang pingat dalam acara tersebut.

Dua atlet Indonesia, Widia Fujiyanti dan Kharisma Ragil Rakasiwi masing-masing memenangi emas serta perak, manakala gangsa menjadi milik Janna Tee Jia Hui dari Singapura.

“Ini pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan antarabangsa. Ia juga AUG pertama dan terakhir kerana selepas ini saya akan habis belajar.

“Sedih tiada podium buat Malaysia kerana saya mengharapkan dapat pingat gangsa. Saya tidak beraksi pada tahap sebenar kerana saya rasa dapat buat lebih bagus.

“Jujurnya saya agak gementar dan banyak kekurangan dari pembacaan laluan. Saya perlu banyakkan lagi simulasi pertandingan dan sertai banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.

Atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu turut menyertai kategori speed tetapi tewas kepada Alivany Ver Khadijah dari Indonesia di peringkat separuh akhir sebelum ini.

Selain Renee, Malaysia turut bersaing dalam acara speed dan boulder lelaki menerusi penuntut Politeknik Banting, Kevin Eddie Fred serta Ghalib Mohamad Azmi dari Universiti Teknologi Mara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI