BEIJING- Seorang penulis blog makanan di Cina disoal siasat polis selepas memuat naik klip video dia makan isi ikan jerung putih di platform penstriman Douyin, lapor akhbar Daily Star UK, semalam.
Wanita yang menggelarkan dirinya Tizi, ialah pesohor media sosial di laman Douyin dan mempunyai lapan juta pengikut.
Wanita itu popular kerana makan haiwan yang jarang ditemui, luar biasa dan kadangkala terancam.
Dalam video terbarunya, Tizi menunjukkan hidangan ekor jerung sebelum memakannya.
“Ia mungkin kelihatan ganas, tetapi dagingnya benar-benar sangat lembut,” kata Tizi.
Tizi turut memuat naik gambar dirinya berbaring di sebelah bangkai jerung putih bagi menunjukkan saiz ikan tersebut.
Menurut kapsyen pada video itu, jerung putih besar itu dibiakkan dalam kurungan tetapi ramai pengulas mempertikaikan bahawa adalah adalah mustahil untuk membela seekor jerung putih di dalam tangki. – Agensi