NEW DELHI – Seorang warga emas di Bihar, India mendapat perhatian ramai selepas mendedahkan bahawa dia tidak pernah mandi sejak lebih dua dekad lalu, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dharamdev Ram, 62, dikenali dalam kalangan penduduk kampung Baikunthpur kerana tidak pernah mandi selama 22 tahun.
Namun, tindakannya itu dipuji orang ramai. Ini kerana Dharamdev berikrar tidak akan mandi sehingga keganasan terhadap kaum wanita, perebutan tanah dan pembunuhan haiwan yang tidak bersalah dihentikan.
Disebabkan semua perkara itu masih berlaku, Dharamdev terus berpegang pada janjinya.
“Pada 1975, saya bekerja di sebuah kilang di Jagdal, Bengal dan berkahwin pada 1978 serta menjalani kehidupan normal.
“Namun, pada 1987, saya tiba-tiba sedar bahawa perebutan tanah, pembunuhan haiwan dan keganasan terhadap wanita mula meningkat.
“Jadi, saya bertemu dengan pendeta yang mengambil saya sebagai murid dan memberi inspirasi kepada saya untuk berbakti,” katanya.
Pada tahun 2000, Dharamdev berhenti kerja di kilang tempat dia bertugas, namun kembali ke pekerjaan tersebut disebabkan tekanan daripada keluarganya.
Namun, apabila berita mengenai ikrarnya untuk tidak mandi itu tersebar, dia dipecat dan menganggur sehingga kini.
Ketika isterinya meninggal dunia pada 2003 sekali pun, Dharamdev tetap enggan mandi termasuk selepas seorang anak lelakinya turut mati. Dalam masa sama, seorang lagi anak lelakinya dikatakan menghilangkan diri.
Dharamdev dikatakan bertegas untuk berpegang teguh pada janjinya yang dibuat 22 tahun lalu meskipun berkemungkinan sehingga dia turut meninggal dunia. – Agensi