TOKYO – Jepun melaporkan satu perlima daripada keseluruhan kes Covid-19 dunia sejak seminggu lalu termasuk 233,100 kes Khamis lalu sekali gus rekod baharu, lapor agensi berita United Press International (UPI).
Bagaimanapun, angka jangkitan menurun 12 peratus dan kematian susut tujuh peratus di seluruh dunia.
Kelmarin Tokyo mengumumkan sebanyak 197,792 jangkitan harian dengan kes keseluruhan di Jepun meningkat kepada 12,796,261 atau yang ke-12 terbanyak di dunia.
Angka kematian kelmarin di Jepun adalah 82 manakala korban keseluruhan meningkat kepada 32,626 orang iaitu di tempat ke-30 dunia.
Sejak seminggu lalu, Jepun mencatatkan sebanyak 1,358,248 jangkitan Covid-19 iaitu antara jumlah tertinggi di dunia atau bersamaan peningkatan 54 peratus.
Negara lain yang mencatatkan peningkatan melebihi 25,000 kes harian pada minggu lalu termasuk Korea Selatan (556,281 kes), Russia (64,489 kes), Iran (61,977 kes), Romania (56,906 kes) dan Serbia (38,284 kes).
Dalam perkembangan berkaitan, Asia menjadi satu-satunya benua yang melaporkan peningkatan kes mingguan iaitu sebanyak 12 peratus, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 169,888,899.
Rantau lain iaitu Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Oceania semuanya menyaksikan jangkitan koronavirus semakin berkurangan.
Angka korban pada minggu lalu pula menurun kepada 13,912. Purata korban harian pula ialah 1,987 dengan angka paling rendah baru-baru ini ialah 1,235 yang direkodkan pada 4 Julai lalu.
Angka kematian itu adalah yang terendah sejak 1,075 kematian dicatatkan pada 21 Mac 2020, 10 hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik global.
Korban keseluruhan pula berjumlah 6,419,467 setakat kelmarin. – Agensi