PUTRAJAYA- Harga siling minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) akan ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 8 Ogos ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling itu dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) yang diadakan semalam.
“Ia juga antara lain menyaksikan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.
“Harga purata bulanan CPO akan ditentukan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1 hari bulan diikuti dengan pengumuman harga siling bagi bulan itu yang akan berkuat kuasa pada 8 hari bulan sehingga 7 hari bulan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Alexander berkata, berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata CPO bagi Julai 2022 adalah RM4,603.
“Sehubungan itu, menerusi pengiraan kementerian dengan mengambil kira semua faktor berkaitan di samping rundingan bersama pemain industri minyak sawit, harga maksimum jualan di peringkat peruncit untuk botol 5kg bagi Ogos 2022 ditetapkan pada paras RM34.70.
“Mekanisme di sebalik penetapan harga siling itu dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa CPO” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama. – KOSMO! ONLINE