KETUA jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengakui ‘bungkam’ selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas 2-3 selepas Negeri Sembilan FC (NSFC) mempamerkan kebangkitan dramatik pada aksi Liga Super kelmarin.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan Herlison Caion dan Yazan Al Arab sebelum pasukan pelawat bangkit pada babak kedua dengan dua gol jaringan Gustavo Almeida dan satu jaringan Sean Eugene Selvaraj.
Kata Feichtenbeiner, pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan khususnya menerusi set piece selepas merekodkan dua kekalahan berturut-turut apabila tewas kepada Sri Pahang pada saingan liga minggu lalu.
“Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut kami dan ia bukan petanda baik. Secara jujur, pada 45 minit pertama saya akui kemenangan seperti sudah berada dalam genggaman apabila berjaya mendahului 2-0.
“Namun, situasi berbeza apabila pasukan membiarkan NSFC bangkit dan saya lihat dua gol yang diperoleh mereka adalah hasil sepakan set piece yang sepatutnya boleh dielakkan jika kita bertahan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, pengendali skuad Hobin Jang Hobin, K. Devan mengakui apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya cukup luar biasa kerana bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2.
“Pada babak pertama kita boleh lihat Selangor FC mendominasi perlawanan dan layak untuk mendahului 2-0, namun situasi berbeza apabila babak kedua yang mana saya menyatakan kepada barisan pemain untuk menyerang habis-habisan.
“Selepas kita meraih gol penyamaan, mungkin semangat pemain semakin melonjak dan daripada situlah kita dapat memburu jaringan kemenangan. Pujian wajar diberikan kepada pemain yang tidak pernah kenal erti putus asa,” katanya.