KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.
Perkara itu diputuskan selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan beliau agar kes di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Perbicaraan dijadualkan didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 11 dan 12 Ogos ini selepas mahkamah menolak permohonan beliau agar prosiding ditangguhkan.
Hakim Muhammad Jamil ketika menolak permohonan itu berpendapat, meskipun Rozman mempunyai kedudukan sebagai Ahli Parlimen, status itu tidak mewajarkan perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi walaupun beliau menyatakan kes itu menjadi tumpuan umum dan mendapat laporan media.
Mahkamah berpendirian, bukan menjadi undang-undang bahawa tertuduh yang berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, maka perbicaraan harus didengar di Mahkamah Tinggi.
“Semua tertuduh mesti dilayan sama rata tanpa menghiraukan status dan Rozman yang merupakan seorang ahli politik tidak seharusnya diberi layanan berbeza jika memohon untuk memindahkan kesnya.
“Sama seperti tertuduh lain, beliau mesti memenuhi kehendak mana-mana perenggan di bawah Seksyen 417(1) Kanun Tatatacara Jenayah,” ujar hakim itu.
Hakim Muhammad Jamil berpendapat, kes melibatkan ahli politik lain seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbeza kerana pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE.