KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengisytiharkan Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan mengenai perkara itu dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Istana Balai Besar di sini.
Ahmad dalam ucapannya berkata, pengisytiharan itu dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
“Pangkat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan ini turut dinamakan di dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘Her Highness Sultanah of Kelantan’ dan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan sebagai ‘Her Highness Che Puan Mahkota of Kelantan.
“Baginda turut mengampuni perkenan untuk mengurniakan pangkat kemuliaan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan ke hadapan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Lousie Johansson Petra iaitu isteri Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, Che Puan Sofie Lousie akan menggunakan gelaran Che Puan Mahkota Kelantan.
Tambah Ahmad, kesemua kurniaan pangkat kemuliaan adalah berkuatkuasa pada hari ini iaitu 4 Muharram 1444 Hijrah bersamaan dengan 2 Ogos 2022. – KOSMO! ONLINE