SEBERANG PERAI – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu sehingga mencecah RM80,000 dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama iaitu antara pukul 11.01 hingga 11.08 pagi pada 21 April 2020, tertuduh didapati telah memperdayakan seorang lelaki berusia 54 untuk mendepositkan wang sebanyak RM30,000 ke dalam akaun RHB Bank atas nama Green Age Solar Technology Sdn. Bhd.
Ini didakwa bertujuan mendapatkan keuntungan hibah seperti yang dinyatakan dalam perjanjian antara kedua-dua belah pihak yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan berikutnya pula iaitu antara 19 hingga 22 April 2020, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 52, untuk mendepositkan wang sebanyak RM50,000 ke dalam akaun yang sama atas tujuan yang sama seperti pertuduhan terdahulu.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Block A-G & A-1 Wellesley Home MPT 1264, Jalan Perusahaan, Kawasan Perusahaan Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah di sini. – KOSMO! ONLINE