fbpx

“Biar ‘kita’ jadi peneraju” -KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – “Kenapa tidak kita yang jadi peneraju dalam dunia, kenapa kita perlu ikut sahaja,” jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Ahli Parlimen Rambau itu lagi, Malaysia boleh menjadi pelopor kepada negara-negara lain dalam menamatkan perkara (merokok) yang sangat memudaratkan manusia.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan New Zealand, walaupun ada perbezaan sedikit dengan kita (RUU) tetapi mereka bawa Generation End Game (GEG) cuma mereka halang bagi rakyat yang lahir pada 2009.

“Kita (Malaysia) bukan bersendirian, kenapa tidak kita yang jadi peneraju dalam dunia, kenapa kita perlu ikut sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu diluluskan sebulat suara selepas perbahasan membabitkan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang digulung Khairy Jamaluddin.

Khairy ketika mengemukakan usul merujuk RUU berkenaan ke Jawatankuasa Pilihan Khas berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2) bagi membolehkan jawatankuasa terbabit membuat syor mengenai beberapa perkara.

Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dipengerusikan beliau selain dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan serta pembangkang.

Jawatankuasa tersebut boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Masyarakat Madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan dari semasa ke semasa.

Jawatankuasa itu dianggotai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling); Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang);Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu-Masjid Tanah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas).

Ia turut dianggotai Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti); Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching); Sivarasa (PH-Sungai Buloh); Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun). -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI