fbpx

Ayman Al-Zawahiri mati ditembak peluru berpandu ‘pisau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayman (kanan) mengambil alih tampuk pemerintahan Al-Qaeda selepas kematian Osama (kiri) pada 2011 dan banyak menghabiskan masa bersembunyi dari musuh. - AFP

KABUL – Pemimpin Al-Qaeda dan dalang serangan Pusat Dagangan Dunia New York pada September 2001 (9/11), Ayman al-Zawahiri disahkan terbunuh dalam serangan dron oleh  Agensi Perisikan Pusat (CIA), lapor Badan Penyiaran British (BBC), hari ini.

Presiden Joe Biden mengesahkan perkara tersebut dalam ucapan  langsung di kaca televisyen sambil menegaskan, kematian Ayman bermaksud keadilan telah ditegakkan.

Biden berkata Ayman,71, terbunuh semasa berada di balkoni sebuah rumah selamat di Kabul, Afghanistan. Serangan CIA itu menggunakan dua peluru berpandu kawalan jauh yang dilancarkan menggunakan dron.

Sumber maklumat menyatakan bahawa tiada letupan berlaku dan ini  membayangkan  AS sekali lagi menggunakan peluru berpandu tanpa peledak,  Hellfire R9X yang dilengkapi enam pisau tajam untuk memotong sasaran tetapi tidak meletup.

Penggunaan R9X sebelum ini tidak pernah disahkan oleh Pentagon dan CIA iaitu dua agensi AS yang melancarkan operasi membunuh pemimpin luar. Peluru berpandu itu dilaporkan pertama kali digunakan pada Mac 2017 apabila pemimpin kanan Al-Qaeda, Abu al-Khayr al-Masri dibunuh semasa berada di dalam sebuah kereta di Syria.

AS juga mengesahkan serangan itu hanya mengorbankan Ayman dan tidak mencederakan ahli keluarganya.

“Akhirnya, keluarga mangsa serangan 9/11 boleh menarik nafas lega dan kerajaan AS  telah menunaikan janji untuk menuntut keadilan ke atas mereka yang terkorban.

“Tidak kira berapa lama masa yang diambil, tidak kira di mana kamu bersembunyi, jika kamu  menjadi ancaman kepada rakyat kami, AS akan mencari kamu dan memastikan kamu menerima balasannya,”  tegas Biden.

Ayman mengambil alih kepimpinan al-Qaeda selepas kematian Osama bin Laden pada 2011 tetapi beliau menjadi tokoh terpencil dan terpinggir, hanya menyampaikan mesej kepada kumpulannya sekali-sekala bagi mengelak lokasinya dikesan musuh.

Ayman dan Osama merancang serangan 9/11 bersama-sama dan dia adalah salah seorang pengganas paling dikehendaki AS. 

Sementara itu, Arab Saudi mengalu-alukan pengumuman berita pembunuhan Ayman, demikian menurut kenyataan kementerian luar.

“Kerajaan Arab Saudi menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden mengenai sasaran dan pembunuhan pemimpin pengganas Al-Qaeda,  Ayman Al-Zawahiri,” demikian menurut  kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas Biden mengumumkan bahawa AS telah membunuh Ayman  dalam serangan dron di Kabul. – AFP 

Kementerian Luar Arab Saudi berkata beliau dianggap sebagai salah seorang pemimpin keganasan yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan operasi pengganas yang kejam di AS, Arab Saudi dan beberapa negara lain di dunia.

“Beribu-ribu orang yang tidak bersalah dari pelbagai bangsa dan agama, termasuk warga Arab Saudi, terbunuh.

“Kerajaan menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama dan usaha bersepadu antarabangsa untuk memerangi dan membasmi keganasan, menyeru semua negara untuk bekerjasama dalam rangka kerja ini untuk melindungi orang yang tidak bersalah daripada organisasi pengganas,” kata kenyataan itu.

Zawahiri yang merupakan doktor mata kelahiran Mesir mengambil alih tampuk pemerintahan Al-Qaeda selepas Osama bin Laden dibunuh oleh pasukan khas AS di Pakistan pada 2011.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata Zawahiri berada di balkoni sebuah rumah di Kabul apabila dia disasarkan dengan dua peluru berpandu Hellfire, sejam selepas matahari terbit pada 31 Julai.

– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI