BANDAR RAYA NEW YORK – Pelakon Johnny Depp mengalami masalah mati pucuk yang membawa kepada perlakuan keganasan seksual terhadap bekas isterinya, Amber Heard, demikian menurut peguam aktres berkenaan seperti laporan portal berita MailOnline.
“Meskipun Depp enggan mendedahkan masalah yang dihadapinya itu, keadaan tersebut adalah relevan kepada tindakan keganasan seksual yang dilakukannya.
“Ini termasuk sikap panas baran dan menggunakan botol terhadap Heard,” demikian menurut dokumen pada 28 Mac lalu itu yang diperoleh semalam.
Menurut peguam Heard, keadaan kesihatan Depp menjadi faktor kepada sikap ganas terhadap isterinya.
Heard mendakwa, ketika mengambil ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk, kesukaran yang dialami Depp ketika melakukan hubungan seks menyebabkan dia menjadi seorang pemarah dan melepaskan kemarahan itu terhadap isterinya.
“Saya mengganggapnya sebagai hubungan seks ketika marah. Dia bertindak ganas terhadap saya selama beberapa kali dan melakukan hubungan seks dalam keadaan marah,” kata Heard.
Bintang Aquaman itu turut menambah, bekas suaminya itu kerap menghabiskan lebih banyak masa untuk minum arak bersama rakan-rakan dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, menjadikannya bertindak ganas.
Depp menafikan semua tuduhan Heard termasuk serangan seksual sepanjang proses perbicaraan kes saman mereka yang berakhir Jun lalu.
Heard telah diarah oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$10.35 juta (RM46.1 juta) selepas juri mendapati dia memfitnah Depp menerusi satu kenyataan dalam akhbar Washington Post yang diterbitkan pada 2018. – AGENSI