Oleh AZMI NORDIN
PETALING JAYA – Adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke unit rawatan rapi Pediatrik (PICU) bagi mendapatkan rawatan semalam.
Menurut ibunya, Nurul Erwanie Zaidi, 27, memberikan kata-kata semangat buat anaknya yang kini dalam keadaan yang stabil di hospital dan sudah boleh diberikan susu.
“Pagi ini Ainul dah mula minum susu, dua hari dah Ainul puasa tak dapat minum susu. Mama yakin keadaan Ainul semakin baik,” ujarnya melalui hantaran di akaun instagramnya baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, status adik Ainul kini masih belum sedarkan diri lagi dan masih diberikan ubat tidur.
“Ubat tidur masih berjalan lagi, sebab Ainul masih menggunakan ventilator. Ainul tak boleh sedar lagi sebab tak mahu bagi Ainul penat bila menggunakan ventilator.
“Ainul perlu kuat okay! Nanti nak main sama-sama dengan adik. Dengar radio Omar Hana kegemaran Ainul ni, harap-harap ini ada berita gembira dari doktor dan yang merawat Ainul,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak memaklumkan kanak-kanak itu sedang ditidurkan dan menggunakan bantuan ventilator di PICU.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam, Ahmad Safiuddin berkata, doktor mengesahkan Ainul telah terkena jangkitan kuman dan virus itu merebak hampir ke semua anggota. – KOSMO! ONLINE.