TAMPIN – Sebuah tapak bersejarah iaitu Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua Sungai Kelamah atau lebih dikenali sebagai Tugu Peringatan Sungai Kelamah di sini, didakwa semakin ‘diancam’ dengan pembangunan yang berlaku di sekitarnya.
Tugu peringatan tersebut dibina sebagai memperingati bekas-bekas Tentera Australia dan Jepun serta keluarga mereka yang terkorban semasa berlakunya peperangan antara Batalion Australia ke-2/30 dengan tentera Jepun.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi berkenaan mendapati pemandangan menghijau dengan tanaman kelapa sawit serta perkampungan Felda bertukar kekuningan serta debu ekoran kerja-kerja pembesaran jambatan.
Menurut Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad, kawasan tugu tersebut amat penting kerana ia merupakan kawasan pertempuran Perang Dunia Kedua yang melibatkan tentera Australia dan tentera Jepun pada 14 Januari 1942.
“Kini apa yang dibimbangkan ialah kawasan sekitar terutama kawasan lereng bukit dan tebing sungai telah ditolak (diratakan jentera berat) bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan seterusnya telah merosakkan kawasan tapak sejarah tersebut.
“Saya harap agar kerja-kerja tersebut dapat dihentikan dan kawasan tersebut diperbaiki semula. Kawasan ini juga menjadi tumpuan pelancong luar negara yang ingin menyaksikan sendiri kawasan pertempuran ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, sekiranya kawasan ini dirosakkan, ia akan merencatkan segala aktiviti berkaitan sejarah di kawasan itu dan bagi mengelakkan ia ‘terhakis’ kawasan itu harus diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara demi menjaga kelangsungan kawasan ini terbela dan terjaga.
Berkongsi mengenai sejarah kawasan tersebut, Shaharom menyatakan kawasan jambatan berkenaan dan kawasan sekitar menjadi medan pertempuran dan diiktiraf oleh Kerajaan Australia sebagai tapak monumen sejarah dan dibina tugu peringatan.
Sementara itu, seorang penduduk yang juga bekas tentera, Yusoff Hashim, 63, lokasi berkenaan sememangnya sangat istimewa dan dikunjungi bukan hanya individu dalam negara, bahkan, dari luar negara khususnya Australia.
Menurutnya, tempat tersebut dipulihara hasil inisiatif banyak pihak antaranya Majlis Daerah Tampin (MDT), pihak tentera Australia sendiri dan juga penduduk yang secara sukarela membersihkan kawasan tersebut atau hadir memberi penerangan kepada pelancong.
“Kawasan ini juga menjadi simbol kepada keamanan negara kerana ia menjadi contoh dan rujukan tentang peperangan yang merugikan sesiapa yang terlibat.
“Ia menjadi pengajaran dan pedoman kepada masyarakat Malaysia agar cintakan keamanan,” katanya.