BAGAN SERAI – Polis Kerian menahan tiga orang lelaki dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian di kawasan Tanjung Piandang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan itu dilakukan ekoran susulan satu klip video tular di laman sosial yang memaparkan terdapatnya aktiviti judi dalam talian.
“Susulan video yang tular itu, polis Perak dan Kerian telah melakukan serbuan ke atas dua lokasi yang disyaki di kawasan tersebut.
“Serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun, manakala dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 32 tahun berjaya ditahan pada serbuan di lokasi kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak Januari 2021, sebanyak 351 serbuan dilakukan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.
“Dari jumlah tersebut, 80 serbuan telah dilakukan di kawasan Tanjung Piandang dan sebanyak empat kali ke atas premis seperti di dalam klip video yang tular itu,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga lelaki yang ditangkap itu kini direman di lokap Balai Polis Bagan Serai dan kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(C)Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – KOSMO! ONLINE