SEREMBAN – Pemilik lembu baka sado baka angus yang diberi nama ‘Tam’ tidak berhasrat menjual ternakan kesayangannya itu walaupun ada yang menawarkan pada harga tinggi.
Pemiliknya, Azrin Anil Khalid, 26, dari Kampung Tanjung Agas, Port Dickson berkata, lembu jantan seberat 730 kilogram (kg) yang mempunyai bulu hitam berkilat dan berotot itu sangat manja walaupun secara fizikal ia kelihatan garang.
“Saya sangat sayangkan Tam, menjadi rutin harian untuk memandikan dan memberi dia makan setiap hari, selain itu lembu sado ini lebih mudah didekati, bila selalu digosok makin jinak.
“Sebelum ini, ada seorang penternak dari Rembau sanggup beli Tam pada harga lebih RM30,000, orang tawar harga lebih tinggi pun saya tidak akan jual,” katanya ketika ditemui pada Pameran Lembu Sado di NS Fest 2022 di Dataran Nilai, di sini semalam.
Tam turut berjaya menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan Johan dalam Pertandingan Baka Unggul (Kategori Pejantan Hibrid Sado) yang diadakan.
Ujarnya, Tam yang berusia dua tahun satu bulan itu dihasilkan menggunakan teknik Permanian Beradas (AI) dengan memasukkan benih baka lembu angus yang diimport dari Perancis ke dalam alat kelamin lembu betina tempatan.
“Lembu ini mampu menghasilkan otot berganda dan saya baru pertama kali masuk pertandingan ini tidak sangka Tam menang.
“Baka Angus ini menghasilkan daging yang sedap untuk dibuat ‘stik’, masih jarang penternak membela baka ini berbanding baka import lain seperti charolais, limosin, indra dan brahman merah,” katanya.
Jelas Azrin Anil, dia yang meneruskan legasi keluarga dalam bidang penternakan kini beralih kepada lembu sado sejak tiga tahun lalu kerana pulangannya lebih dua kali ganda berbanding lembu kampung.