SAUDARA PENGARANG,
Sejak berpindah ke Shah Alam lebih kurang 30 tahun lepas antara aktiviti mingguan paling seronok yang kerap kami sekeluarga buat adalah berjalan-jalan di Stadium Shah Alam. Orang Shah Alam pasti faham apa tarikannya yang menyeronokkan.
Satu ikon kebanggaan bukan sahaja bagi peminat bola sepak tetapi seluruh warga Selangor, maklumlah kawasan Stadium sudah menjadi pusat pelbagai aktiviti daripada pasar tani ke pusat sukan ekstrem sehinggalah tempat bermain go-kart.
Namun sejak beberapa tahun ini, jika melepasi kawasan tersebut, apa yang dapat dilihat adalah keadaan stadium tercinta kita yang kini sudah uzur dan sunyi ditambah pula berisiko banjir.
Oleh itu, penambahbaikan ataupun pembinaan semula merupakan satu tindakan yang wajar dilakukan dan amat dialu-alukan oleh warga Shah Alam.
Saya ada juga terfikir akan kos pembiayaannya – takkan wang cukai rakyat nak digunakan ketika kita sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat ini?
Namun, lega rasanya apabila mendapat tahu bahawa kos akan dibiayai oleh pemaju melalui usaha sama awam-swasta.
Sebagai penduduk Shah Alam, saya menantikan perubahan positif terhadap stadium ini dan ingin juga melihat ia dapat memainkan peranan untuk menyumbang kepada kemajuan sukan negeri mahupun negara untuk menjadi lebih cemerlang.
Sungguh tak sabar menanti hari untuk menonton bola, konsert besar dan kembali berjalan-jalan di stadium semula.
Ahmad Shazli Ramli
Seksyen 2 Shah Alam