SHAH ALAM – Pengurus Besar juga penyampai radio popular Suria FM, DJ Lin mengakui terkilan dengan tindakan bekas penyampainya, Fizi Ali berhubung keputusan penghijrahan ke stesen radio lain yang dibuat pada saat akhir.
Kata DJ Lin, dia hanya diberitahu tentang penghijrahan Fizi ke Hot FM setelah segala proses perbincangan selesai dan dia dengan jelas menyatakan persetujuannya untuk menyambung kontrak baharu selama setahun bersama kami.
“Jujur selaku ketua dan rakan sekerja, saya memang amat terkilan dengan tindakannya. Bayangkan kami terpaksa merombak semula kerja-kerja bagi promosi Jelajah 90 Suria yang bakal diadakan bermula 6 Ogos ini.
“Video promo pun kami terpaksa reshoot (penggambaran semula) disebabkan tindakannya yang memberitahu kami saat-saat akhir. Itu belum dikira dengan kos nak tukar wallpaper (hiasan latar) pada bas yang sudah lama siap.
“Kalau nak dikira, banyak yang kami terpaksa laburkan disebabkan tindakan last minute (saat akhir) dia. Lebih RM50,000. Tapi saya tak kisah sebab itu, cuma saya kasihankan staf lain kerana terpaksa bersusah payah disebabkan perkara yang tak sepatutunya berlaku ini,” katanya.
DJ Lin ditemui pada majlis sidang akhbar Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell bersama beberapa barisan artis yang terlibat di Wisma Kak Ell di sini sebentar tadi.
Pada masa sama, DJ Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta itu memberitahu, pihaknya ada memujuk Fizi untuk kekal bersama mereka setidak-tidaknya selepas habis program Jelajah 90 Suria yang akan diadakan di empat buah negeri di seluruh Malaysia bermula Sabtu ini.
“Kami ada duduk berbincang dengan dia (Fizi) untuk dia stay (kekal) dengan kami setidak-tidaknya sampai program jelajah selama sebulan ini tamat.
“Tetapi dia beritahu tidak dapat berbuat demikian kerana akan mula bertugas di stesen baharu dalam masa terdekat,” katanya.
DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd. Majid menambah, dia langsung tiada niat untuk menyekat minat, bakat atau keputusan Fizi berhijrah ke tempat lain, namun bukan dengan cara sebegitu.
“Jujur saya langsung tiada niat nak sekat atau halang dia untuk pergi mana-mana. Kontrak dia bersama kami pun sudah tamat, namun perbincangan untuk memperbaharui kontraknya juga telah selesai yang mana sebelum ini dia ada menyatakan persetujuannya untuk menyambung kontrak bersama Suria FM.
“Dia nak pergi mana pun tak mengapa. Cuma, isunya di sini kenapa tidak beritahu sejak dari awal-awal lagi sedangkan kerja promosi untuk Jelajah 90 Suria sudah hampir 100 peratus siap,” ujarnya lagi.
Terdahulu, selepas enam tahun menabur bakti bersama Suria FM, Fizi yang juga bekas suami kepada pelakon Shakilla Khoriri membuat keputusan untuk meninggalkan stesen radio tersebut.
Fizi berkata, dia mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan dan memilih untuk tidak menyambung perkhidmatannya dengan Suria FM.
Teka-teki bahawa dirinya bakal menyertai Hot FM akhirnya terjawab apabila disahkan menjadi ahli keluarga baharu stesen radio tersebut bermula esok bergandingan bersama pelawak Fad Bocey menerusi segmen Sembang Squad. – KOSMO! ONLINE