TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Yair Lapid menjanjikan siasatan kelmarin berhubung dakwaan seorang pengawal penjara wanita di sebuah penjara kawalan keselamatan maksimum bahawa dia diperkosa berulang kali oleh seorang banduan Palestin selepas pihak atasan memaksa dia bekerja sebagai ‘hamba seks’.
Sebilangan laporan yang mendakwa pengawal wanita menjadi mangsa pencabulan oleh banduan-banduan di Penjara Gilboa itu tersebar di media Israel selama beberapa tahun.
Bagaimanapun, pihak pengurusan penjara itu mengundang perhatian baharu pada September tahun lalu apabila enam banduan Palestin lolos dengan menggali terowong dari kurungan mereka dalam insiden yang menjadi tajuk utama media di seluruh dunia.
Tempoh setahun lalu juga menyaksikan siri pendedahan mengenai apa yang digelar media Israel sebagai ‘Skandal Pelacuran Gilboa’, merujuk kepada laporan meluas mengenai perbuatan pegawai penjara mengarahkan pengawal wanita ke dalam situasi di mana mereka terdedah kepada serangan oleh banduan.
Bagaimanapun, pada minggu lalu, seorang wanita yang mengaku dirinya bekas pengawal penjara Gilboa menyiarkan keterangan secara online bahawa dia berulang kali dirogol oleh seorang banduan Palestin.
Wanita itu berkata, dia diserahkan kepada banduan tersebut oleh pegawai atasannya dan menjadi ‘hamba seks’ lelaki itu.
“Saya tidak mahu dirogol dan dicabuli lagi dan lagi,” katanya.
Penguamnya, Keren Barak mengesahkan keterangan oleh wanita yang identitinya tidak didedahkan itu semasa satu wawancara dalam saluran televisyen Channel 12 hujung minggu lalu dan berkata, anak guamnya memerlukan sokongan kesihatan mental susulan tragedi itu.
Mengulas perkembangan itu, Lapid memberitahu Kabinet kelmarin: “Saya tidak boleh bertoleransi bahawa seorang askar dirogol oleh pengganas ketika dia berkhidmat,”.
“Insiden ini mesti dan akan disiasat. Kita akan pastikan bahawa askar terbabit menerima bantuan,” katanya.
Penjara Gilboa di utara Israel menempatkan sebilangan rakyat Palestin yang didapati berasalah terbabit dalam serangan terhadap warga Israel. – AFP