PADANG BESAR – Seorang pembantu stor kerugian RM15,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit pada mulanya dihubungi seorang individu dengan nombor tidak dikenali.
Katanya, suspek memperkenalkan dirinya sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan nombor pengenalan diri dan nombor telefon mangsa digunakan untuk pendaftaran sebuah syarikat.
“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum disambungkan kepada seorang lagi individu kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bagi melakukan laporan salah guna nama dan nombor kad pengenalan mangsa.
“Pegawai polis yang menyamar itu memaklumkan syarikat didaftarkan atas nama mangsa terlibat kes pengedaran dadah dan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa diminta memindahkan wang simpanan daripada semua akaun bank miliknya ke satu akaun diberikan bagi tujuan audit.
“Mangsa yang akur dengan permintaan tersebut membuat dua kali transaksi dengan jumlah keseluruhan RM15,000.
“Selepas pemindahan wang dilakukan, suspek mematikan telefon menyebabkan mangsa gagal menghubungi semula suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE