TAKTIKAL pengendali baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio dapat disaksikan buat kali pertama selepas dilantik minggu lalu menjelang aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Sebagai rekod, Bidoglio menjadi pilihan pengurusan skuad Harimau Selatan untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh pengendali import dari Mexico, Benjamin Mora yang telah dilepaskan pada minggu lalu.
Berdasarkan latar belakang karier Bidoglio, bekas pemain antarabangsa Venezuela itu dijangka mengekalkan corak permainan bola sepak moden yang sebelum ini cukup sinonim dengan skuad JDT di bawah kendalian Mora.
“Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis selain ‘berguru’ dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009,” kata kenyataan JDT baru-baru ini.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan bimbingan Bidoglio bakal berdepan tugas berat kerana pasukan KL City pernah mencipta kejutan dengan menewaskan mereka di pentas final Piala Malaysia dengan keputusan 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
Sementara itu, penyerang KL, Jordan Mintah mengakui sudah mula mendapat rentak dan bersedia untuk memastikan skuad kendalian Bojan Hodak dapat melakar keputusan positif di gelanggang keramat JDT nanti.
Sebagai rekod, Mintah menamatkan kemarau jaringan apabila meledak dua gol ketika membantu skuad Warga Kota menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Rabu lepas.
Penyerang import dari Ghana itu berharap kejayaan membuka akaun jaringan bersama KL City sebagai permulaan untuknya meledak lebih banyak gol pada perlawanan akan datang.
“Pada awalnya memang saya memerlukan masa untuk mencipta keserasian dan saya gembira rakan-rakan sepasukan banyak membantu sehingga saya berjaya menjaringkan dua gol pada aksi yang lepas,” katanya.